Saturday, November 1, 2008

Akhlak Pemimpin Islam

Sewaktu menonton klip-klip video pemuda dan pemudi negara Iran yang mana mereka telah diberikan kesempatan untuk bertemu dengan pemimpin ummat Islam Al Imam Sayyid Ali Khamenei, terdetik rasa kagum serta cemburu terhadap mereka. Mereka yang sememangnya menanti-nantikan kedatangan Sayyid didalam satu ruangan dengan penuh semangat kecintaan dan hormat terhadap beliau sambil menyeru nama beliau,yang mana telah dibalas Sayyid dengan kecintaan yang luar biasa,yang mana Sayyid dengan penuh kecintaan dan keramahan menyanjungi mereka dengan penuh kerendahan diri. Sayyid Ali dalam pertemuan tersebut menggelarkan dirinya sebagai ayah kepada pemuda-pemudi tersebut,saat kedengaran dari mulut Sayyid membahasakan dirinya sebagai ayah dengan penuh haru dan emosi tangisan anak-anak muda tersebut kedengaran sambil memanggil-manggil beliau dengan penuh rasa cinta serta kasih sayang. Nasihat-nasihat yang diberikan Sayyid amat luar biasa, yang mana mereka yang berada di tempat tersebut mendengar dengan cermat dan teliti serta dengan mudah mencerna kata-kata pesanan Sayyid didalam jiwa mereka. Kata-kata Sayyid benar-benar membekas dihati mereka.


Antara nasihat beliau yang amat penting adalah waktu usia remaja amat berharga, faktor yang membentuk keperibadian cemerlang remaja adalah dengan mempelajari ilmu,mendidik diri dengan perlakuan yang baik serta aktif dalam sukan dan aktiviti ko-kurikulum dan sebagainya.Beliau juga turut menyentuh akan gerakan musuh terutamanya Negara barat yang cuba mempengaruhi serta menjadikan pemuda-pemuda khususnya pemuda Islam berada dibawah kawalan mereka dan merosakkan mereka dengan segenap kemampuan mereka.Sayyid juga menyeru pemuda-pemuda Iran supaya peka dan menjauhkan diri dari usaha-usaha musuh sambil meningkatkan keimanan. Sebuah peristiwa yang menakjubkan,kerana mereka benar-benar mengerti dan memahami akan fungsi pemimpin dan tanggungjawab mereka pada pimpinan mereka. Kebanyakan dari mereka yang diwawancara tidak mampu menceritakan kembali detik-detik pertemuan tersebut malah ada yang termangu bagaikan didatangi mimpi.


Kesimpulan yang dapat saya buat adalah wujud pemimpin telah menyinari hati-hati mereka. Itulah punca kecemburuan saya,yang mana hakikatnya kita sendiri di saat ini masih tercari-cari akan pemimpin yang mampu menuntun kita dalam apa jua keadaan, keperluan dan kepentingan sesuai dengan usia dan kemampuan. Terlintas di fikiran saya,bilakah kita akan jadi seperti mereka?Bilakah kita akan menyaksikan peristiwa sebegitu di tempat kita?Apakah mampu untuk kita menjadi seperti itu?Pokok, jawapan yang akan diberikan kita boleh jadi berbeza, tergantung kewarasan kita untuk menilai dan berfikir sebaik-baiknya. Para pemuda Iran benar-benar memahami tanggungjawab mereka pada agama, pemimpin dan juga negara, sedangkan kita masih terpinga-pinga malah lalai serta cuba mengabaikan dan menafikan tanggungjawab yang sedang kita pikul. Walhal kita mengetahui yang usia remaja adalah tahap atau tingkatan usia yang paling fleksibel dalam carta usia manusia, yang mana tempoh-tempoh keremajaaan dilewati dengan perkembangan fitrah, daya fikir, tanggungjawab, kemahiran dan sebagainya sehingga ke tahap maksima yang mampu dicapai mengikut kemampuan masing-masing. Seringkali kita dengar hal-hal yang negatif berkaitan dengan remaja. Kehidupan dan masa depan yang berharga ada ditangan pemuda tapi disia-siakan.Banyak hal yang menjadikan usia remaja berharga, bukan setakat kebolehan dan kemampuan sahaja malah usaha pemuda lebih gigih dibandingkan dengan golongan yang lebih senior dari mereka. Namun kita masih tersalah dalam mengerti akan makna dan hakikat usia ini, yang mana kita tak lari dari membuat pengertian bahawa usia remaja adalah had mula umur manusia untuk bebas membuat keputusan dan melakukan hal-hal yang diinginkan.


Pengertian remaja yang sebenarnya seringkali disalah erti sehingga boleh mengakibatkan kerosakan mentaliti, fitrah kemanusiaan serta akhlak.Apa sahaja tindakan yang dilakukan untuk menyelematkan remaja dari terjerumus ke jurang kesalahan hanya boleh dilakukan dengan kesedaran. Sebenarnya usia remaja ini adalah waktu untuk mempelajari erti sebenar kehidupan kita, sehingga ianya praktikal untuk menjadi seseorang yang berfungsi didalam komuniti masyarakat kita. Sejauh pengetahuan saya, hanya Islam, sebuah agama yang menitik beratkan dan memanfaatkan peranan remaja dalam agama,negara dan masyarakat.Masalah terbesar yang dihadapi Negara barat adalah tidak menyentuh,memerhati dan mempedulikan isu dan masalah remaja mereka, malah menyembunyikan isu tersebut.Disebabkan itulah Islam melihat isu remaja amat penting demi kesejahteraan agama, bangsa dan Negara..Kerana itulah didikan agama yang baik serta bermanfaat dimulakan sejak dari kecil.Masyarakat yang baik adalah sebuah komuniti besar yang mana format asal mereka terbentuk dari usia remaja yang terdidik serta peka terhadap tanggungjawab dan fungsi mereka didalam masyarakat.Semoga dengan kesedaran kecil yang kita milki,mampu untuk mencegah dan mendidik pemuda-pemuda Islam dan Negara ini dari menyimpang kearah kerosakan yang membinasakan Agama bangsa dan Negara.

No comments: