Saturday, January 17, 2009

PALESTIN: MENANTI SANG PENYELAMAT, PENYATU UMAT MANUSIA

Hampir 3 minggu berlalu tindakan ketenteraan keatas Gaza yang telah mengorbankan sejumlah besar nyawa masyarakat awam Palestin .Dianggarkan hampir suku juta nyawa telah diragut oleh penjajah Zionis yang telah dilakukan sejak 61 tahun dahulu.Peristiwa “ Nakbah “ yang berlaku pada tahun 1948 adalah hari bermulanya titik hitam dalam kehidupan rakyat Palestin.


Masyarakat Palestin yang pada ketika itu hanyalah petani dan penternak yang menjalankan kerja seharian mereka di kebun dan ladang dipaksa menyerahkan tanah mereka,malah dirampas segala yang mereka miliki semata-mata untuk menempatkan masyarakat Yahudi yang telah dibantu Britain pada ketika itu. Bermula dari tarikh tersebut penempatan kaum Yahudi dan pengasingan serta pengusiran rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri bermula. Kiblat pertama muslimin, Masjid Al-Aqsa turut dibakar dan di rebut dari umat Islam pada waktu itu. Maka hasilnya kini, masyarakat Palestin menjadi orang buangan, pelarian dan imigran dari tanah mereka sendiri, kerakyatan mereka dihapus,dan mereka bagaikan orang yang menumpang di Negara palsu Israel dengan dipersulit segala urusan kehidupan seharian.


Banyak peristiwa yang berlaku ke atas rakyat Palestin yang dilupakan, antaranya pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian “ Shabra dan Shatila” dan banyak lagi peristiwa-peristiwa hitam menimpa masyarakat Palestin tak kira di negara mereka sendiri atau di kem-kem pelarian di sekitarnya . Gerakan -gerakan melawan keatas Zionis seperti Hamas dan Fatah di tubuhkan demi membela tanah air dan bangsa mereka. Tetapi haluan dan tujuan masing-masing berbeza hinggakan diantaranya terbabit dalam kancah perang saudara. Yang secara konsisten menentang tindakan ganas Zionis hanyalah Hamas, yang lain nya hanya berminat dengan tindakan berpolitik dan berunding.Syahid Sheikh Ahmad Yasin dan Syahid Abdul Aziz Rantisi antara pelopor Hamas yang terkorban angkara tindakan buas rejim Yahudi tersebut.



Tetapi perkiraan Zionis akan lumpuhnya pergerakan Hamas dengan kematian pelopor gerakan tersebut adalah silap,mereka sebenarnya menghidupkan lagi api perjuangan rakyat Palestin. Kematian mereka menghidupkan lagi pejuang-pejuang yang akan menyambung misi-misi pembelaan bangsa Palestin. Walaupun jelas pembelaan yang dilakukan demi melindungi bangsa dan mendapatkan kembali hak dan tanah air mereka,namun pergerakan mereka dilabelkan sebagai paksi pengganas oleh sekutu zionis iaitu Amerika dan diakui oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Serangan Zionis terhadap Gaza dan Palestin amnya dikatakan tindak balas keatas serangan mortar dan roket yang dilakukan oleh pejuang Hamas.Hakikatnya tindakan pejuang Hamas itu dilakukan kerana melindungi dan mempertahankan wilayah mereka dari serangan dan penjajahan Zionis.Pejuang Hamas yang hanya berbekalkan roket “Qasam”,raifal dan mortar diserang balas dengan bedilan bom berangkai, peluru berpandu jet-jet pejuang, peluru-peluru dan bom kereta kebal dan bermacam lagi senjata canggih yang dibekalkan oleh Amerika dan sekutunya yang lain termasuklah persenjataan yang membinasakan seperti senjata kimia dan nuklear.Sungguh menghairankan, sekumpulan pejuang yang jumlahnya kecil membela keadaan bangsa mereka yang hanya berbekalkan kapasiti senjata yang kecil menentang sebuah bangsa haus darah yang tanpa tujuan yang pasti atau tujuan yang jelas melainkan mendapatkan kepuasan membunuh.Kesemua pertubuhan besar seperti PBB, Nato, Kesatuan Eropah termasuklah Liga Arab memihak kepada sang algojo Zionis,manakala mangsanya rakyat Palestin hanya di sokong oleh masyarakat antarabangsa yang hanya mampu berjuang dengan lidah dan tindakan demonstrasi.Apakah ini yang dinamakan keadilan? Tanpa menghiraukan kecaman dan kutukan masyarakat dunia, segala pertubuhan yang mewakili masyarakat dunia hanya tunduk dan patuh dengan kehendak Zionis dan agen Rumah Putih. Segala sekatan dan halangan yang berlaku keatas umat Palestin di abaikan dengan alasan Hamas tidak mahu menyerah dan tidak patuh terhadap gencatan senjata dan “pertubuhan pengganas”. Yang jelasnya juga sebarang bantuan kemanusiaan juga disekat tanpa ada yang serius menangani hal tersebut hingga nyawa-nyawa melarat berterusan dan hanya membiarkan kesyahidan menjemput mereka.


Kita sendiri tidak pasti sampai bila hal ini akan berlarutan dan yang pasti Palestin tetap menjadi mangsa, yang jelas juga adalah kerana Palestin yang majoritinya beragama Islam sekali-kali tidak akan dibela, melainkan kita sendiri yang membela nasib agama kita. Dimanakah kita sebagai orang Islam?Ketahuilah wahai umat Islam bahawa kejadian yang menimpa Palestin bukanlah masalah bangsa arab semata tetapi ianya masalah serius yang dihadapi Islam.Kita berdiam diri tatkala berita dan khabar penderitaan dan kekejaman keatas saudara kita di Palestin tidak kedengaran ditelinga,padahal Islam benar-benar telah dihina sejak sekian lamanya!Dimanakah pemimpin umat Islam yang komited dan konsisten dalam membela hak Islam?Kita masih lagi bertelagah dalam arena perpaduan dan penyatuan walaupun telah diusahakan dengan bermacam-macam pendekatan bagi menyatukan umat Islam.Kalaulah kita mampu membuang keegoan dan kebodohan dan kepentingan kita untuk bersatu atas usaha membela Islam pasti kita berjaya.Pemimpin yang kita maksudkan dan kita sandarkan harapan secara mutlaknya hanya seorang dan bukannya banyak hinggakan tujuan mereka berjuang adalah semata membela kehendak peribadi dan keta’asuban mereka sendiri.


Yakinilah bahawa ketika hal-hal yang berkaitan dengan kemanusiaan,keadilan dan pembelaan ianya bukan milik individu mahupun minoriti tetapi kesemua manusia tanpa mengira perbezaan agama, akidah dan bangsa melainkan fitrah yang diberikan Allah s.w.t kepada manusia dan setiap agama mengakuinya. Ketahuilah “Sesungguhnya kita milik Allah dan sesungguhnya kepadaNya kita kembali”.

Dimanakah orang yang akan menuntut bela atas kesengsaraan umat Islam di Palestin? Seharusnya di kesempatan ini kita melihat dan muhasabah keadaan kita yang selesa dan aman tanpa sebarang kesulitan dan membandingkan penderitaan yang dilalui saudara seagama di Palestin.Adilkah kita yang hanya membiar dan mengabaikan kesengsaraan mereka, sementara kita bersenang-senang dan melupakan mereka?


Suasana yang sudah berlarutan untuk sekian lama sepatutnya menyedarkan kita dan membantu kita agar menjadi lebih peka dan bersiap sedia bertindak melindungi serta membela muslimin dimana jua.Dengan kata lain sepatutnya kita sudah bersatu dan sepakat mencegah api perpecahan yang disulut oleh ekstremis yang ditaja musuh.Kesedaran kita keatas hal ini masih tiada kerana asyik dengan penentangan terhadap agenda dan propaganda musuh luaran tanpa memikirkan hal dalaman yang sedang berlaku.Terbukti tindakan tikam belakang yang menjadikan pandangan masyarakat antarabangsa bahawa Islam adalah penyumbang kegananasan (Teroris) oleh militan-militan yang berkhidmat dengan AlQaeda seperti juga yang diketahui mereka mendapat tajaan CIA, Mossad dan pihak yang bersekutu dengan mereka.Bukan setakat itu sahaja, agenda musuh dalaman diperhebat dengan sentimen dan provokasi kafir mengkafirkan sesama muslim dan menghalalkan darah mereka.


Astaghfirullah! Hal sebegini tidak berlaku pada agama yang lain walaupun agama mereka terpecah dengan mazhab-mazhab dan mereka masih mampu bersatu.Apakah kita hendak membiarkan pengambil kesempatan yang menghasut dan menyerukan perpecahan berhasil manakala cita-cita untuk bersatu sekadar angan dalam sedar?

Republik Islam Iran kini berjaya membuktikan bahawa pimpinan mereka itu benar-benar membela hak dan berjuang serta tidak tunduk terhadap desakan musuh atas nama Islam.Seluruh muslim mengakui akan hal ini dan berbangga dengannya.Sejak revolusi Islam yang berlaku dari tahun 1979 hingga kini hanya Iran yang komited dalam membela hak Palestin dan Islam amnya.Revolusi Islam tersebut telah menumbangkan pemerintahan munafik Syah Reza Pahlevi yang secara terang-terangan taat dan tunduk kepada Amerika, Israel dan Britain ketika itu.Pembelaan keatas umat Islam di Palestin telah dilakukan diserukan oleh Almarhum Imam Khomeini r.a yang menyeru agar pada setiap hari Jumaat terakhir di bulan Ramadhan dijadikan “Hari Al-Quds sedunia”. Tidak setakat itu malahan pemimpin tertinggi Revolusi Islam sedunia kini, Imam Sayyid Ali Khamenei semenjak seruan Almarhum Imam Khomeini tidak pernah terlepas dari menggunakan syal Palestin sebagai simbol mengenang Palestin.Inilah pemimpin yang secara spiritual berjuang demi membela hak Islam dan Palestin.Hal ini terbukti juga dengan kejayaan Gerakan Perlawanan Islam Hizbullah di Lubnan yang dipimpin Sayyid Hasan Nasrullah,secara berterusan mereka berikrar akan membantu membela Palestin dan bersumpah untuk berjuang mendapatkan kembali Al-Quds untuk Islam.


Sama ada anda ingin menafikan atau meraguinya atas dasar provokasi dan sentimen yang menyemarakkan lagi api perpecahan, saya berserah kepada Allah atas tindakan sia-sia dan merugikan yang segelintir muslimin lakukan.Padahal kalau anda menyokong dan bersama-sama berjuang ianya tidak menjadikan Islam rugi dalam keadaan seperti hari ini.


Kita membenci malah tidak ingin kepada penindasan dan kita memerangi sebarang bentuk kezaliman dan kehinaan, namun masih belum kedengaran dari mulut muslimin sedunia akan slogan “Jauh sekali kehinaan dari kami”(Haihat min dzillah).Pada hari asyura(hari kesepuluh bulan muharam) 61 hijiriah,Penghulu Pemuda Ahli Syurga Sayyidina Hussein menyerukan slogan itu yang mengajarkan pada kita akan erti perjuangan menentang kehinaan.Perjuangan menentang kebathilan yang dilakukan oleh Yazid beserta ribuan tentera dan masyarakat Kufah yang berpaling tadah menentang cucu Nabi s.a.w beserta 72 orang dari kalangan keluarga dan sahabat beliau.Ianya bukan sekadar cerita duka melainkan perjuangan antara pimpinan risalah Ilahiyah dan pimpinan fasiq syaitani.Sebuah peristiwa yang penuh erti kemanusiaan yang mengajarkan pada kita akan erti kemuliaan dari kehinaan yang abadi. Hakikatnya tragedi Karbala harus dijadikan model dan contoh mutlak dalam pembelaan keatas penindasan dan kezaliman.Persitiwa asyura yang sarat dengan pelajaran dan falsafah perjuangan,kehidupan dan pengorbanan yang menjadikan hati-hati menjadi teguh dalam berjuang mengharungi erti kehidupan dengan komited.Sayangnya, amat sedikit sekali orang-orang yang ingin menghayati dan mengambil iktibar dari peristiwa tersebut serta menanamkannya dalam jiwa.Asyura Al- Hussein seringkali dikaitkan dengan syiah dan pecinta Ahlul Bait Nabi a.s semata, yang mana sebenarnya Imam Hussein bukan milik segolongan pihak atau mazhab dan agama sahaja melainkan ianya milik manusia yang memiliki hati dan jiwa penentang kezaliman.

Disetiap zaman dari mulanya kehidupan manusia di muka bumi ini hanya terdapat dua faktor yang akan menjadikan kebaikan atau keburukan disepanjang zaman hingga akhir (kiamat) iaitu antara haq dan bathil.Disetiap zaman pasti ada orang seperti Firaun yang berkarakter zalim, begitu juga dengan Nabi Allah Musa a.s yang berkarakter adil. Setiap zaman akan terwujudnya orang fasiq yang melakukan kezaliman dan kemungkaran walau berbeza figur dan peribadi tersebut hingga manusia yang berhati akan berpasrah kepada Allah atas hal tersebut.




Di suatu masa kelak ketika manusia kesemuanya pasrah dan bersiap sedia “Sang Penyelamat” akan tiba dan akan memenuhi isi bumi ini dengan keadilan dan keamanan sejagat, seperti yang diyakini semua agama. Inilah fitrah yang terdapat pada manusia yang diabaikan dan di nafikan atas kebodohan yang tidak disedari dan tidak ingin diketahui melainkan orang yang padanya terdapat akal dan kewarasan berfikir. Wujudnya “Sang Penyelamat” ini mestilah sempurna tanpa sebarang kekurangan yang bersifat spiritual mahupun yang lain. Dan agama Islam meyakini figur tersebut adalah Imam Mahdi, walaupun terdapat perbezaan dalam versi, riwayat dan keyakinan tetapi orangnya adalah satu iaitu “Imam Mahdi” juga. Sebagai inti daripada menyambut kehadiran beliau yang dinantikan adalah mempersiapkan diri dengan segenap kemampuan yang ada dengan mempelajari ilmu-ilmu dalam kehidupan dan memperbaiki kelemahan diri yang berbentuk spiritual, fizikal bahkan material. Menantikan kehadiran Al-Mahdi memerlukan keteguhan hati dan peribadi yang ingin melihat bumi ini terpenuhi dengan keadilan dan keamanan.

No comments: